FOLLOWERS

Thursday, February 19, 2009

DI HUJUNG PERSAHABATAN

Perhentian bas pekan kecil itu yang lengang ketika lelaki itu menjejakkan kakinya mulai sibuk. Lama dia berdiri menanti rakannya di situ. Sudah hampir setengah jam. Kakinya sudah terasa letih. Namun kerana janji yang telah di buatnya, baginya wajiblah dipenuhi.

Sesekali bas datang dan pergi. Penumpang-penumpang diturunkan dan diangkut kembali. Pemandu-pemandu teksi berteriak nyaring mencari rezki. Kota kecil itu terus hidup dan bernafas. Penjual-penjual air tebu telah mula membariskan kereta sorong dan menyusun barang-barang niaga mereka. Mentari telah lama menyinarkan bahangnya, memastikan laris jualan hari itu.

Bas datang lagi dan kemudian pergi meninggalkan kekecewaan jauh di sudut hatinya. Tetapi dia tetap menanti penuh harap biarpun keluhan perasaan dan rungutan di hati kecilnya mula terucap. Mungkin bas yang menuju ke kampungnya akan sampai sebentar lagi, pujuk hatinya.

Masa terus berlalu perlahan. Saat demi saat. Minit demi minit.

Bas datang lagi. Kali ini dua buah berderetan. Hatinya hampa. Bas itu dari Bandar S. Matanya tertumpu ke situ sekadar menghilangkan keresahan penantiannya.

Bas pertama berhenti, menurunkan penumpangnya seorang demi seorang. Dia memerhati dengan agak resah dan mengharap. Seorang demi seorang meninggalkan bas itu.

Penumpang yang terakhir telah pun berlalu tetapi konduktor bas itu terus menutup papan tanda penunjuk arah bas itu. Dia kecewa lagi, tetapi masih berharap pada bas yang kedua. Dilihatnya bas itu baru hendak menurunkan penumpangnya.

Sekali lagi hatinya gelisah. Lebih gelisah dari tadi.

Seorang demi seorang melangkah keluar. Satu. Dua. Tiga. Empat. Beberapa ketika tiada penumpang yang turun seolah-olah terhalang. Pintu bas itu seakan tersekat. Dia memerhati kehairanan.

Tiba-tiba matanya terpegun seperti tidak yakin pada apa yang dilihatnya. Penumpang yang kelima itu merentap pandangan matanya. Ah… pasti bukan dia, kata hatinya. Tak mungkin itu Anis, bisik hatinya lagi. Tetapi matanya terus terpaku ke situ.

Seorang gadis dengan susah-payah turun dari bas itu. Nampak sukar kerana beg yang dibawanya agak besar dan mungkin berat. Tergerak hati kecilnya ingin menolong. Tetapi rasa malu dan ragu-ragu menyelubungi perasaan.

Direnungnya wajah gadis itu agak lama. Pada jarak sejauh lima meter itu dia berpeluang berbuat begitu kerana gadis itu tidak menyedarinya. Dia cuba menggambarkan sesuatu yang terbayang di fikirannya. Ah… tidak, sanggah hatinya lagi. Tak mungkin. Rambutnya tidak begitu. Anis berambut lurus dan panjang. Tetapi gadis itu berambut ikal dan sekadar mencecah bahu.

Hatinya berbelah-bahagi. Dia berusaha menyakinkan hatinya supaya tidak menyangka apa-apa. Gadis itu bukanlah Anis, kata hatinya. Biarpun hatinya seakan tak mahu menurut, dia tetap memaksa. Gadis itu bukan Anis !

Tapi di saat itu juga gadis itu menoleh padanya. Lantas mengukir senyuman. Dan dia seperti direnjat sesuatu. Dadanya berdebar-debar. Untuk akukah senyuman itu, hatinya menyoal. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Biarpun terpaksa, dia membalas jua. Keraguan membara di hatinya.

Gadis itu menghampirinya.

Setelah berada di depannya barulah hatinya berasa yakin bahawa gadis itu benar- benar Anis. Anis teman sekampungnya. Teman semasa di bangku sekolah rendah. Teman sama mengaji di bawah bimbingan seorang guru. Malah teman bermain pondok-pondok di belakang rumahnya bersama Lan, Syah, Mat dan Idah semasa kecil dulu. Masakan dia dapat melupakannya.

"Hai… tak kenal lagi ke ?" Gadis itu menegurnya.

"Siapa pulak yang tak kenal gadis berbaju kurung biru yang jadi rebutan teruna beribu," dia cuba bergurau. Tetapi dia merasa malu pada dirinya menyebut perkataan itu. Malu kerana tidak dapat menduga awal tadi.

"Ah.. perli ya," gadis Anis itu tersenyum lagi. "Dari mana dan hendak ke mana ?"

"Dari kampung. Hendak menjemput kau pulang," balasnya walaupun itu bukanlah tujuan sebenarnya berada di situ.

Kata-kata bernada gurau itu berulang lagi seperti lima tahun dulu. Lima tahun bukanlah suatu waktu yang singkat untuk sebuah perpisahan. Tetapi apabila sesekali bersua, mereka seperti tak pernah berpisah. Apakah hati dan perasaan tidak berubah dalam tempoh lima tahun itu, dia menyoal dirinya.

Mereka terpisah ketika masuk ke tingkatan empat. Dia bernasib baik kerana kelulusannya memberinya peluang memasuki sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur. Seterusnya menjejakkan kaki ke salah sebuah universiti di sana. Sedang gadis itu meneruskan persekolahan di daerahnya di pekan kecil itu. Paling akhir dia mendengar khabar gadis itu berjaya dalam peperiksaan SPMnya.

Dari saat perpisahan itu, kehidupan mula mengasingkan mereka. Kedewasaan menyedarkan mereka tentang nilai-nilai hidup. Lalu mulai saat itu juga mereka semakin jarang bertemu. Malah tidak berpeluang bersua. Tetapi ada sesuatu yang terus mengikat mereka. Bahawa suatu waktu dulu mereka adalah sepasang unggas paling akrab. Kalau tidak di dunia pun, di daerah mereka.

"Hendak ke mana dengan beg besar ni ?" Dia menyambung perbualan dengan sebuah pertanyaan.

"Cuti hujung minggu. Dua hari," jawab gadis itu.

"Jadi kau ‘dah bekerjalah sekarang ?"

"Ya. Lepas SPM dulu aku ambil kursus setahun. Terus bekerja."

"Di mana ?"

"Kau tak tahu ?" Gadis itu kehairanan. "Takkan kau tak tahu. Sudah setahun lebih aku di Kuala Lumpur."

"Memang aku ada mendengarnya. Tapi macam tak percaya. Nak tanya ayah kau, aku segan. Setiap kali aku pulang bercuti, aku tak pernah nampak kau. Kau jarang pulang ke kampung agaknya."

"Tidaklah. Setiap bulan aku pulang. Kau mungkin…"

"Aku ? Setiap kali cuti semester, aku di sini. Maksud aku bila cuti panjang."

"Tapi kau selalu duduk di rumah saja. Teruk ke belajar di sana hingga terbawa- bawa sampai ke rumah ?"

Lelaki itu hanya mengangguk.

Percakapan itu tergantung. Gadis itu memohon diri apabila melihat bas tiba yang bakal membawanya ke kampung yang tidak jauh dari pekan kecil itu. Dia membiarkan gadis itu berlalu.

Namun di hatinya serasa mahu dia menahan gadis itu. Banyak perkara yang ingin ditanyakan. Tetapi masa begitu cepat berlalu. Dia hanya terpaku memerhati tanpa kerelaan di hati. Gadis itu melangkah penuh sopan meninggalkannya sendirian.

Dia segera memutuskan untuk menunggu lagi. Menunggu rakan yang di janjikannya.

Ah… barangkali aku boleh menemuinya di kampung nanti, dia cuba memujuk hatinya. Namun begitu dia sedar akan jarak masa yang telah berlalu itu. Sekali pun keinginan itu begitu memuncak, ada jurang yang memisahkan mereka. Mereka telah semakin dewasa untuk menjalani hidup seperti dulu - seperti lima tahun dulu.

Perasaannya mula terganggu sejak pertemuan dan perbualan singkat itu. Telah lama wajah itu layu dari ingatannya. Tapi pertemuan itu bagaikan embun yang gugur di dingin pagi. Menyegarkan kembali memori lama. Menyegarkan kembali kenangan masa kecil dulu.

Namun begitu dia sedar perasaan itu tidak serupa seperti dulu. Masa kecil hanyalah suatu titik mula persahabatan mereka, sedangkan kedewasaanlah yang menentukan segalanya. Dia berharap agar dapat menemui gadis itu lagi. Berharap agar dapat mengulangi kisah masa kecil dulu.

Harapan itu terlaksana keesokan harinya.

"Ibu mu ada di rumah ?" Gadis itu menyapa ketika dia sendirian membaca buku di tangga.

"Ada." Sambutnya dengan senyuman.

"Mengapa kau tak mahu ke rumah ku ? Datang malam ni ya…"

"Ada apa di sana ?"

"Kenduri kecil. Esok aku kembali ke KL"

"Esok ? Kalau begitu aku boleh hantar kau sampai ke pekan."

Gadis itu tidak menjawab seolah-olah cuba mengelakkan sesuatu. Malah sebaik saja menyelesaikan urusan dengan ibunya, gadis itu terus berlalu tanpa menoleh lagi padanya. Dia kehairanan melihat perubahan serta-merta itu.

Timbul sejuta pertanyaan di hatinya. Keraguan turut memenuhi ruang hati.

"Kenduri apa di rumah Anis, Mak ?" Soalnya tiba-tiba kerana tidak dapat menahan pertanyaan-pertanyaan yang menyerbu benaknya.

"Anis kan ‘ndak bertunang minggu depan. Malam ni cuma kenduri doa selamat."

"Bertunang ?"

Dia terpaku mendengar kata-kata ibunya itu. Tiba-tiba suaranya seakan tersekat di kerongkong. Dia cuba mengawal perasaannya dan hati lelakinya. Perasaan itu terhiris. Lalu malam itu dia membatalkan keinginannya hendak ke rumah gadis itu.

Esok pun tiba seperti biasa. Di pekan kecil itu pertemuan terukir.

"Kau akan bertunang ?" Pertanyaan itu pantas meluncur dari mulutnya.

"Ya."

"Dan kau akan berkahwin ?"

"Tentulah."

"Aku, bagaimana ?"

"Kau ?"

"Kau tak pernah beritahu aku hal ini."

"Aku tak faham."

"Kau tak tahu perasaan aku…"

Terdiam. Suasana hening. Cuma deru kenderaan terus memecah sepi. Sudut kecil restoran tempat mereka berbicara sunyi. Mereka terus menyelami hati masing-masing dari sinar mata yang terpancar.

"Kita masih bersahabat," kata gadis itu kemudian seakan memujuk hatinya sendiri yang pada mulanya tidak menyangka tujuan pertemuan itu. Dan tidak menyangka lelaki itu berani berterus-terang. Tapi mengapa baru sekarang, soal hatinya.

"Begitulah akhirnya, hanya persahabatan yang akan kekal," kata lelaki itu perlahan bernada kekesalan.

"Kau hubungi aku nanti…" Gadis itu cuba mengalihkan tajuk perbualan.

"Cuma sebagai sahabat," dia mematikan. Kecewa.

Dan persahabatan itu terjalin semula sebagaimana dulu. Sesekali mereka bertemu di tengah kesibukan kota KL itu atau berbual di sisi telefon. Cuma bezanya sekarang, dia amat menyedari bahawa gadis itu tidak dapat dimiliki seluruhnya lagi. Gadis itu sekadar sahabatnya, tidak lebih dari itu. Tetapi perasaannya tidak pernah patuh pada kenyataan bahawa gadis itu sudah berpunya. Paling ketara suatu waktu di telefon.

"Kau belum cari pengganti ku ?" Tanya gadis itu.

"Aku belum bercadang buat masa ini. Aku masih menuntut."

"Kau terlalu mengikutkan perasaan."

"Aku tak dapat membendungnya lagi."

"Maafkan aku kerana melukakan hati mu."

"Kau tak bersalah. Aku yang terlambat."

"Aku sungguh tak menduga kau akan…"

"Cukuplah." Dia memotong. "Kita bicarakan soal lain."

Lalu percakapan itu berakhir begitu saja. Sebagai lelaki dia mula belajar melupakan hal itu walaupun terasa amat payah. Kenangan-kenangan masa kecil dengan rakan-rakan yang sering bersama begitu kuat mengikat di ingatannya. Seperti ketika sama-sama berkejaran di atas permatang menolong ibu menghalau burung. Atau ketika sama-sama menangguk puyu di pinggir bendang. Dan ketika sama-sama menangkap belalang di rumpun-rumpun keladi tepi paya tak jauh dari rumah. Ingatan itu membawa kepada perasaan yang sukar diertikan. Perasaan yang dirasai sejak mula mengenal remaja. Sedang remaja pula semakin jauh di belakangnya kini.

Pertemuan-pertemuan dan percakapan-percakapan yang akhir itu tidak lebih dari pertemuan sebagai sahabat. Sebagai teman sekampung yang berada di bandar besar yang sama dan menjalani kehidupan berbeza. Dia belajar dan gadis itu bekerja. Seperti waktu kecil dulu, persahabatan itu terus mengikat mereka. Hingga suatu waktu dia terlanjur bertanya.

"Mengapa terlalu cepat kau berkahwin ? Bulan depan kalau tak silap aku."

"Aku perempuan, kau lelaki, lainlah. Bila-bila masa pun boleh."

"Kita sama manusia."

"Manusia tidak semuanya sama. Kau datang ya di hari sanding ku nanti."

"Akan ku cuba, tapi tidak pasti. Kau tak mahu melihat aku bersedih bukan."

"Kau lelaki…"

"Walaupun lelaki, perasaan tidak pernah membezakannya."

"Aku tak faham maksud mu."

"Kau tak akan faham kerana kau bukan aku. Atau mungkin kau sengaja pura-pura tidak faham."

Gadis itu terdiam sambil merenungnya dengan sinar mata penuh erti.

Hari-hari yang dinanti itu bakal tiba jua. Semakin menghampir semakin resah hati lelakinya. Mengapa tidak ? Seorang gadis yang dulunya paling akrab dengannya tiba-tiba akan pergi dari sisinya. Selepas ini dia pasti tidak lagi membuat pertemuan-pertemuan sekerap dulu. Atau mungkin siapa tahu, persahabatan itu akan lenyap begitu saja.

Dia mula membilang-bilang waktu resah itu. Sehari. Dua hari. Tiga hari… Seminggu. Dua minggu. Tiga minggu… Dan di hari-hari terakhir itu, berita perkahwinan gadis itu mula mengembang, membesar dan menjadi berita paling mengesankan. Khabar yang dibawa angin dari kampung sampai jua ke telinganya. Khabar yang mengaitkan gadis itu dan menyentuh hatinya. Apakah yang terjadi pada sahabat ku, soalnya selalu.

Namun kesibukan waktu seharian melupakan sejenak khabar itu dari hatinya. Dia tidak memperdulikannya lagi. Dia sudah belajar melenyapkan perasaan itu dari hatinya. Dia bertekad tidak akan melalaikan kewajibannya dengan mengikutkan perasaan yang akan membawa kehancuran akhirnya. Dia mula menjauhkan dirinya dari kenangan-kenangan masa kecil itu. Bukankah kenangan masa kecil itu mengikatnya kini ? Bukankah kenangan masa kecil itu yang menguasai hati dan perasaannya ? Kenangan masa kecil itulah yang hampir membendung seluruh kehidupannya.

Tetapi petang itu tiba-tiba sahaja kenangan itu kembali segar di ingatannya. Kenangan masa kecil itu rupanya telah sebati dalam dirinya. Tanpa diduga hatinya menaruh sedikit kayakinan. Menyimpan sedikit harapan. Walaupun hati itu telah terluka, dia menghadapinya dengan tabah.

Deringan telefon kembali bergema di telinganya. Inilah percakapan terakhir untuk mu hai gadis ku, kata hatinya memujuk dirinya.

"Hello !" Dadanya bergetar ketika tangannya mencapai gagang telefon.

"Hello. Kaukah itu ?"

"Aku sahabat mu. Apakah benar berita itu, Anis ?" Suaranya kedengaran tegas yang tak pernah diucapkannya selama ini.

"Ya."

"kau tak jadi kahwin ?"

"Ya."

"Mengapa ?"

"Aku sudah putuskan pertunangan ku."

"Tapi kenapa ?"

"Kerana kau…"

"Aku ?…" Suaranya tiba-tiba menjadi lembut. Penuh keceriaan.

No comments: